Wednesday 5 February 2020

Hati-hati dengan perbuatan dan percakapan kita

Hidup ini sentiasa ada balasan di atas setiap perbuatan dan pengucapan. Jika suatu masa kita menyakiti orang lain, di masa hadapan perbuatan menyakitkan itu akan kembali kepada kita semula.

Begitu juga bila kita dengan rasa takbur menghina kesilapan orang lain. Dengan sengaja kita menabur fitnah atau mengumpat keji perbuatan orang, tidak mustahil segala apa yang kita keji dan hina itu akan berbalik kepada kehidupan sendiri.

Oleh itu,

Adalah amat perlu untuk kita sentiasa bertaubat di atas segala perbuatan dan kata-kata. Bertaubat kerana mungkin segala musibah yang melanda hidup adalah berpunca dari dosa-dosa perbuatan mahupun kata-kata kita yang dahulu.

Mungkin ada hati yang pernah tercalar kerana kata-kata kita. Mungkin ada jiwa yang terkoyak kerana perbuatan kita. Kerana rasa teraniaya, mungkin ada yang mendoakan agar Tuhan memberi balasan kepada kita.

Seperti yang arwah mak pernah kata pada saya,

"Allah tak pernah tidur. Dia tahu apa yang kita kata baik secara zahir mahupun di dalam hati. Semuanya akan ada balasan."

Kita ini manusia yang tak suci mana. Ada ketika hati tetap berkeledak dengan noda. Sekalipun bibir tak pernah kering dengan zikir berjela-jela.

Taubat tanda diri insaf. Taubat tanda diri akur pada kelemahan sebagai seorang hamba. Taubat kerana mungkin di suatu masa, kita terlalu angkuh mengata orang yang teraniaya.

#mamiEffy
Taubat sementara sempat.

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER