Saturday 29 June 2019

Formula mudah menulis headline Copywriting

Copywriting bermula dengan headline. Ia perlu ringkas tapi terus fokus kepada siapa copy mahu ditujukan.

Formula mudah yang diajarkan oleh Sifu Aqif untuk menulis headline adalah,

Produk + segmen pelanggan + masalah.

Contoh:

1. Blouse antikedut + wanita bekerja + selalu kena travel

Buat ayat penuh dari formula tersebut.

BLOUSE ANTIKEDUT UNTUK WANITA BEKERJA YANG SELALU KENA TRAVEL SANA SINI.

Siap satu headline mudah.

Selamat menulis!

#mamiEffy
Ghostwriter/Copywriter

Friday 28 June 2019

Cara untuk menjadikan copywriting menarik

Beberapa cara untuk menjadikan sebuah copywriting menarik adalah:

1. Tulis dengan ayat yang mudah difahami.

2. Gunakan nama yang kita nak orang kenal di media sosial. Ringkas dan mesra.
Contoh: Kak Cantik, Abang Kacak, Cik Melah.

3. Boleh masukkan unsur humor/kelakar. Asal tidak keterlaluan.

4. Bercerita dengan bersahaja. Tenang-tenang macam berbual dengan kawan. Tak perlu ikut skrip iklan sangat.

Semoga bermanfaat.
Selamat menulis dengan gembira.

#mamiEffy
#Ghostwriter/#Copywriter

Thursday 27 June 2019

Bagaimana Melatih Anak Kecil Supaya Pandai Mengemas Permainannya?

Sekarang anak kita masih kecil. Rumah bersepah sana-sini dengan permainan. Sesekali kaki sakit akibat terpijak lego, kereta atau entah apa saja yang berselerak.

Kita pun marah-marah. Bising mengomel pada anak-anak.

"Kenapa sepahkan mainan ni? Kalau tak mau kemas, pergi buang semua!"

Padahal anak tu baru 1, 2 tahun. Kita sendiri pun tak ambil dan ajar bagaimana cara untuk kemas permainan. Mana mungkin mereka akan pandai sendiri.

Dan bila sekali kita tunjukkan, usahlah terus berharap mereka akan segera pandai. Pembelajaran mengambil masa beberapa kali untuk anak kecil kita faham dan ingat. Itu pun sesekali akan tersilap juga.

Kawan,

Tanggungjawab membentuk sikap anak-anak adalah tanggungjawab kita sebagai ibubapa. Bukan tanggungjawab ibu sahaja, atau ayah seorang yang perlu urus semua. Mesti ada kerjasama suami dan isteri.

Lainlah halnya jika kita ini ibu atau bapa tunggal. Itu ya, tanggungjawab kitalah untuk membentuk peribadi mereka. Namun tidaklah kita terbiar terkontang-kanting tanpa panduan. Banyak saluran yang boleh kita rujuk untuk dapatkan tunjuk ajar.

Baiklah,

Berbalik kepada BAGAIMANA NAK MELATIH ANAK KECIL SUPAYA PANDAI KEMASKAN PERMAINAN MEREKA?

1. Biasakan bermain dengan anak. Kalau anak ajak main masak-masak, mainlah. Kemudian bila dia sudah bosan, jadikan aktiviti mengemas perkakas permainan sebagai sebahagian dari permainan tadi.

2. Ajak anak kemaskan permainan yang bersepah bersama-sama. Bukan hanya bising dan marah-marah. Anak tak akan buat dengan gembira.

Sebaliknya ambil satu permainan, beri kepada anak dan tunjukkan supaya dimasukkan semula ke dalam kotak atau bakul. Buat sama-sama.

3. Ajar anak supaya ambil permainan yang dia mahu main sahaja. Mula-mula memang agak payah. Selagi ada kotak atau bakul, semua akan diterbalikkan. Biar nampak semua permainan. Itulah anak-anak.

Bila nampak anak nak ambil permainan, biasakan tanya kepada anak,

"Abang nak main apa? Kereta atau robot?"

Anak akan beri jawapan dan main apa yang dia nak main sahaja. Yang lain tak akan dikeluarkan. Jadi simpanlah kotak atau bakul permainan di dalam bilik. Biar anak main apa yang sudah diambil sahaja.

4. Sekiranga anak mahu menukar permainan, minta anak simpan dahulu mainan sebelumnya. Kemudian baru ambil permainan lain. Insya-Allah anak akan patuh. Cuma cakaplah dengan nada kasih-sayang. Usah dimarah-marah.

Semoga panduan mudah ini dapat bantu kita menjadi lebih gembira untuj membiarkan anak-anak bermain. Kerana dari permainan, mereka sedang belajar banyak perkara.

Oleh itu, usahlah kita membantutkan keseronokan mereka bermain hanya kerana kita takut kaki sakit terpijak lego.

Sesekali tersakit, maafkanlah.

#mamiEffy
Sesekali layan anak jadi Nobita. 😁

#SrikandiInspirasi
#SICircle

Wednesday 26 June 2019

Kenapa Anak Tiba-tiba Buat Perangai?

Sedang asyik menonton rancangan di televisyen, tiba-tiba

"Huwarggggg!"

Anak yang umur 2 tahun menjerit. Mula-mula dia menjerit, kemudian menangis.

Kita mula rimas. Tiba-tiba mengamuk dah kenapa? Nak tengok tv pun tak senang.

Anak tu rindu.
Anak tu nak perhatian.
Anak tu tak pandai cakap,

"Mama, saya rindu".
"Papa, adik rindu".

Kita balik dari pejabat terus nak berehat. Buka tv, mengadap itulah sampai ke sudah. Anak berlari sikit, kita suruh duduk diam.

Kadang-kadang saya pun terlepas cakap suruh anak duduk diam-diam. Tapi lepas tu macam kena ketuk kepala.

"Anak sihat, nak membesar. Memang aktif. Kenapa suruh duduk diam? Nanti Allah bagi dia diam terus, baru menyesal". 😢

Sesekali saya bercakap dengan suami, kita layan anak baik-baik. Kita tunjuk contoh kat anak supaya layan ahli keluarga dengan baik, penuh kasih-sayang. Nanti bila anak dah besar, dia akan layan kita baik juga. Insya-Allah.

Bila anak buat perangai, kita kena kawal perasaan. Kena tenangkan diri. Baru boleh tenangkan anak pula.

Insya-Allah kalau kita bagi perhatian secukupnya, anak-anak akan lebih ceria dan kurang buat perangai. Dan Insya-Allah, bila kita tua nanti anak-anak akan bagi perhatian juga kepada kita.

Begitulah.

#mamiEffy
Effy Sueffy

Tempahan COPYWRITING

Tempah 5 set copywriting, PERCUMA 1 set copywriting/content/story selling.

Tempah 10 set, DISKAUN RM50.

Tempah 3 set, DISKAUN RM10.

Pertanyaan/Tempahan :
Servis Penulisan Mami Effy

#mamiEffy

KENAPA ANAK BERBOHONG?

Pernah tangkap anak bercakap bohong?

Misalnya, bila kucing kesayangan kita tiba-tiba lari berselerak dengan bedak penuh di badan.

"Ayim, Ayim letak bedak kat Oyen ke?"

"Ehhh mana ada. Bukan Ayim. Mana Ayim tau", jawab anak dengan nada tak bersalah.

Padahal dalam rumah tu cuma ada kita dengan dia saja. Dan kucing takkan pandai pakai bedak sendiri.

Kenapa anak-anak berbohong?

1. Takut kena marah / hukum.

Ini biasalah. Anak-anak bila terbuat sesuatu, tersalah pula. Mesti takut nak beritahu hal sebenar. Nanti kena marah.

Tambah pula mak ayah jenis cepat nak marah. Pantang silap sikit, terus marah anak.

Langkah paling selamat, cakap bohonglah. Kita pun kalau terpaksa berdepan dengan bos yang asyik garang saja, mesti berbohong juga, kan?

2. Tak mahu menghampakan mak ayah.

Sebenarnya anak-anak tak mahu sedikit pun menghampakan mak ayahnya. Kalau boleh nak mak ayah sentiasa gembira dan bangga dengan mereka.

Itu sebabnya bila terbuat sesuatu yang salah, anak-anak pilih untuk berbohong. Bimbang kalau berterus-terang, mak ayah akan kecewa dan sedih dengan kehadiran mereka.

3. Mahukan perhatian dan reaksi mak ayah.

Satu hal lagi, anak-anak sentiasa mahukan perhatian. Mereka akan bercerita tentang hal-hal yang akan buat mak ayah teruja untuk terus beri perhatian kepada mereka.

Contohnya, mereka cerita tentang kawan tolak sampai terjatuh baju kotor. Mak ayah akan beri perhatian dengan bertanya siapa kawan yang tolak tu, cikgu tahu ke tidak dan macam-macam soalan lain.

Sedangkan sebenarnya, dia terjatuh sendiri semasa berlari nak keluar masa dah balik sekolah. Kalau beritahu hal sebenar, nanti mak ayah kata dia cuai, kelam-kabut. Lepas tu mak ayah dah tak peduli.

Apa yang kita sebagai mak ayah boleh lakukan bila anak mula berbohong?

1. Berhati-hati bila nak menunjukkan reaksi terhadap kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak.

Anak-anak yang tahu mereka akan dihukum atau dimarahi dengan teruk sekiranya melakukan kesalahan, akan takut untuk bercakap benar. Cuba bercakap dengan nada tenang, dan fokus kepada cara untuk betulkan kesalahan yang dilakukan mereka.

2. Fokus kepada perasaan anak.

Bila mak ayah perasan anak berbohong, kawal perasaan marah. Cuba fahami kenapa anak buat begitu.

Cuba guna ayat,

"Mama rasa abang macam takut nak cakap terus terang dengan mama. Cuba abang beritahu kenapa abang takut?"

Perlahan-lahan anak akan mula beritahu hal sebenar. Dan mereka akan lebih berani untuk bercakap benar di masa hadapan.

3. Hargai dan beri pujian bila anak bersikap jujur.

Puji anak-anak yang berani bercakap jujur. Tunjukkan bahawa kita menghargai keberaniannya itu.

"Abang mesti takut mama marah kan. Tapi mama bangga abang jujur dan beritahu mama hal sebenar. Mama sayang abang".

4. Raikan kesilapan anak-anak.

Jelaskan kepada mereka bahawa kesilapan yang berlaku adalah peluang untuk anak-anak belajar. Bila mereka tahu mak ayah tak akan menghukum atau marah keterlaluan, mereka akan lebih yakin untuk berterus-terang pada masa hadapan.

Sekiranya kesilapan yang mereka lakukan memberi kesan kepada pihak lain, tanya kepada anak apa yang perlu dibuat supaya semuanya dapat diselesaikan dengan baik.

5. Hati-hati dengan penipuan kita juga.

Anak-anak belajar dari pemerhatian dan pendengaran. Ini mak ayah kena selalu ingat. Mereka memerhati saja bagaimana cara kita memberi alasan untuk tak hadir ke mesyuarat PIBG sekolah.

Atau bagaimana kita mereka cerita untuk mengelak dari menyertai majlis gotong-royong bersihkan taman perumahan kerana nak menonton televisyen di rumah.

Mereka belajar dan akan buat perkara sama kepada kita kelak. Jadi sentiasa berhati-hati dan fikir panjang sebelum kita mula berbohong.

Semoga bermanfaat.

#mamiEffy

Follow Effy Sueffy untuk lebih perkongsian tentang keibubapaan, rumahtangga dan isu kehidupan.

Tuesday 25 June 2019

Copywriting perlu menyeronokkan untuk dibaca.

Menulis copywriting tak semestinya serius, 'skema' dan membosankan.

Copywriter boleh berkreativiti dengan sebebasnya dalam penyediaan copywriting. Dengan membuat ia menjadi kelakar dan unik, lebih mudah untuk menarik perhatian prospek yang 'taf' (susah nak tergoda dengan iklan).

Selamat bercopywriting!

#mamiEffy
Ghostwriter/Copywriter

Copywriting untuk bina hubungan.

Copywriting bukan sahaja untuk mendapatkan jualan.

Hari ini copywriting juga adalah tentang membina hubungan, menjelaskan jenama, bercerita, MEMBUAT ORANG TERTAWA, bermain dengan emosi serta belajar apakah cara terbaik untuk memperkenalkan produk atau servis kepada prospek yang disasarkan.

Semoga ini membantu kita menulis copywriting yang lebih baik.



#mamiEffy
Ghostwriter/Copywriter

Monday 24 June 2019

Aku akan cuba terima kau seadanya.

Awal perkahwinan dulu, kami banyak berbalah. Serba-serbi tak kena. Itu tak kena kat mata, ini tak kena kat hati.

"Kalau macam ni baik berpisah."

Ayat ni biasa sangat kat mulut kami. Sampai satu tahap, kami sama-sama tanya satu sama lain. Sungguh ke nak berpisah?

Tak.

Itu jawapan kami berdua. Kami ambil masa, cuba faham perangai masing-masing. Hakikat bahawa kami sama-sama anak kedua juga perlu diambil kira. Hampir kebanyakan perangai kami sama.

Ditambah pula dengan perangai kepala batu kami. Baran pula. Yang kenal kami berdua, tahulah macam mana.

Tapi kami tak terus dengan ego sendiri. Dia korbankan ego, saya pun belajar hormat ego dia. Kami juga usaha buang apa-apa perkara yang pasangan tak suka.

Contohnya saya tak suka dia duduk mengadap televisyen saja pada hari cuti. Dia ubah. Tolong apa yang patut dulu, kemudian baru berehat.

Dia pula tak suka saya banyak bertanya tentang kerja atau kawan-kawan. Saya masih buat. Haha. Cuma caranya lebih halus, lembut dan lebih bersahaja. Hanya untuk berbual. Bukan untuk soal siasat seperti di awal perkahwinan dulu.

Semakin lama, kami makin kurang bertengkar. Lebih banyak bertolak-ansur. Kalau dulu, dia dan saya sama suka pertahankan tentang hal penerimaan.

"Awak dah kahwin dengan saya, kenalah terima saya ni macam mana pun. Kena bersyukurlah. Kalau tak suka, baik tak payah kahwin."

Lama-lama, kami belajar sesuatu. Hidup berumahtangga bukanlah tentang apa yang kita akan terima dari pasangan. Tapi lebih kepada apa yang kita beri. Sebab apa yang kita beri, itulah yang akan kita terima.

Begitu juga, ia bukan tentang pasangan perlu terima kita seadanya sehingga kita berasa tak perlu ubah apa-apa tentang diri sendiri. Sebaliknya, ia adalah mengenai kesediaan kita menerima kurang lebih pasangan untuk kita lengkapkan.

Begitulah kami ubah suasana perkahwinan kami. Dari selalu tegang menjadi lebih fleksibel. Boleh ke tepi dan ke tengah. Lebih banyak gurau senda berbanding serius sepanjang masa.

Sesekali tergigit lidah juga. Tapi lebih mudah untuk bertenang dan berdamai. Sebab masing-masing fikir tak mahu besarkan hal yang remeh.

Dia buat salah, saya pun ada salah. Dia boleh maafkan, kenapa tidak saya?

Begitulah kehidupan berumahtangga.

#mamiEffy
#SrikandiInspirasi
#SICircle
Fb Effy Sueffy

Sunday 23 June 2019

FOKUS dalam penulisan copywriting.

Dalam penulisan copywriting, perkara paling asas adalah FOKUS.

1. Fokus kepada siapa copywriting itu mahu ditujukan. 1 copywriting, 1 sasaran pelanggan.

Contoh : Produk baju tak payah gosok.
Sasaran pelanggan : Wanita bekerja yang selalu kena outstation.

2. Fokus apa fungsi/kelebihan produk yang ingin di'highlight'kan.

Contoh : Baju senang dipakai, keluar dari beg terus sarung saja.

Tambahan fungsi/kelebihan seeloknya ditambah 2-3 sahaja. Itu pun biarlah yang berkaitan dengan fungsi utama.

Misalnya,

Highlight : Baju keluar dari beg, terus sarung.
Kelebihan tambahan :
1. Jenis material yang berkualiti.
2. Kita tak perlu stress baju berkedut walaupun seterika tak ada.

Semoga bermanfaat untuk penulisan copywriting kalian.



#mamiEffy
Copywriter.

Tulis perkongsian yang bermanfaat dan menghiburkan.

Menurut Bapa Viral Kebangsaan Tuan Khairul Hakimin, perkongsian yang dapat reaksi ❤ (love) atau 😆 (haha), engagement akan naik sebanyak 3%.

Manakala jika perkongsian kita banyak mengundang reaksi 😡 (angry) akan menyebabkan engagement menurun sebanyak 3% juga.

Jom hiburkan orang ramai dengan perkongsian penuh manfaat dan menghiburkan.

Tak perlu pura-pura kelakar jika itu bukan sifat kita. Tulis saja tentang apa yang kita lihat dalam kehidupan seharian. Olah jadi sebuah nukilan yang memberi impak positif.

Contohnya,

Kelmarin kami makan bersama-sama di Medan Ikan Bakar Umbai-Pernu. Sedap. Bagaimana nak olah ini menjadi sebuah perkongsian yang bermakna dan beri impak positif kepada pembaca?

Boleh saja diceritakan bahawa kami sekeluarga makan di kedai nombor satu, D'muara Ikan Bakar namanya. Masakannya sedap. Servisnya cepat. Tak perlu tunggu lama untuk makanan sampai. Harga juga berpatutan.

Ikan bakarnya dengan sambal kicap limau yang pekat, penuh perisa. Sangat serasi bila digabung bersama. Disatukan pula dengan sebungkus nasi lemak yang enak. Tambah menambat selera.

Jika ada yang mahu ke negeri Melaka, singgahlah ke Medan Ikan Bakar Umbai-Pernu, terus ke D'Muara Ikan Bakar. Pasti anda berpuas hati dan akan datang lagi. Insya-Allah.

> Pembaca dapat mengetahui lokasi untuk makan ikan bakar yang sedap dengan servis terbaik di Melaka. Itu sebuah maklumat yang bermanfaat.

> Jika disertakan gambar lebih baik. Supaya pembaca dapat melihat suasananya.

Mami tak letak gambarlah sebab ini posting tentang penulisan yang beri impak positif dan diolah dari aktiviti kehidupan seharian. Cerita makan ni contoh saja walaupun ia memang kejadian sebenar. Hehe.

Semoga ini juga bermanfaat dan dapat bantu kita menulis dengan lebih baik.

Selamat menulis.


#mamiEffy

Tulis apa yang orang nak baca.

Kita menulis supaya orang lain baca. Jadi perkara utama perlu kita buat adalah tulis apa yang orang nak baca.

➡ Orang lapar nak baca tentang mana nak cari makanan sedap.

➡ Orang sakit kaki nak baca tentang petua hilangkan sakit kaki.

➡ Orang nak balik kampung nak tahu tentang tips rumah selamat untuk ditinggalkan.

➡ Orang ada anak nak baca tips anak cepat belajar.

➡ Orang nak kahwin nak baca tentang persediaan kahwin yang tak membazir.

Siapa sasaran pembaca kita? Mesti ada kaitan dengan siapa yang bakal beli produk jualan kita, kan?

Jadi tulislah tentang apa yang mereka mahu tahu.

Gitu.

Selamat menulis dengan jayanya!

#mamiEffy
#Ghostwriter/#Copywriter

Friday 21 June 2019

Salam Perkenalan Untuk Semua. ❤

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Selamat berkenalan semua!

Saya Effy Sueffy. Mesra disapa Mami Effy.

Saya seorang #Ghostwriter dan #Copywriter. Saya bantu online seller buatkan Copywriting, Story Selling dan Content berkaitan produk serta servis perniagaan mereka.

Saya juga ambil upah untuk beberapa tugasan Ghostwriter yang lain seperti:

+ Alih bahasa artikel Bahasa Melayu > Bahasa Inggeris, Bahasa Inggeris > Bahasa Melayu.

+ Menulis post pendek untuk FB Personal dan Page klien.

+ Menulis artikel sepanjang 1000 hingga 2000 patah perkataan.

+ Update Page dan Website dengan content, story selling dan post pendek yang berkaitan dengan produk/servis klien.

Saya minat menulis sejak di bangku sekolah lagi. Bermula dengan puisi pendek, kemudian saya cuba menulis cerpen.

Tapi dah lama saya tak menulis sehinggalah 2017, saya mula menulis semula. Itu pun sebab saya dah tak bekerja dan mula ambil upah menulis copywriting.

Saya sedang asah kembali kebolehan menulis dengan membuat perkongsian tentang kekeluargaan, kisah rumahtangga dan baru mula menulis ulasan filem Tamil di Facebook. Mungkin nak ulas tentang kartun juga sebab saya suka kartun. Hehe.

Semoga apa yang saya kongsikan di sini mahupun akaun Facebook saya dapat memberi manfaat kepada kalian yang membaca.

Jika ada terkasar bahasa, saya mohon maaf. Kiranya ada kebaikan, sebarkanlah.

Semoga penulisan menjadi medan untuk saya terus berbuat kebaikan kepada semua. Semoga ia menjadi amal yang berguna untuk saya di sana nanti

Insya-Allah.

Selamat berkenalan sekali lagi.

❤,
Mami Effy

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER