Sunday 26 April 2020

Mahu Anak Soleh dan Solehah

"Allahuakbar, Allahuakbar"

Merdu laungan azan Subuh di pagi 1 Ramadan 1441 Hijrah. Mami sedang bersiap menunggu masuknya waktu solat. Terpegun seketika mendengar merdunya suara azan yang dialunkan.

'Suara Habib rasanya.'

Sempat pula berbisik dalam hati. Bersungguh pula tu nak dengar suara siapa yang alunkan azan. Huhu.

Habib, anak jiran sebelah rumah. Dia imamkan solat subuh mereka sekeluarga pagi tadi.

Rumah kembar dua, dalam kampung pula. Memang dengar jelaslah tiap-tiap bacaan surahnya.

Dari rumah sebelah, mami hayati sedapnya suara anak itu membaca bacaan dalam solat. Boleh imamkan keluarga solat berjemaah pula.

Beruntung betul mak ayah Habib. Mami yang jiran pun rasa sejuk hati. Mak ayah Habib tentu lebih bahagia melihat anak lelaki mereka sudah boleh diharap menjadi imam dengan baik.

'Kalaulah anak-anak aku pun boleh azan, mengaji sedap macam tu. Boleh jadi imam. Allah, bahagia rasa.'

Bisik lagi hati mami. Memang itulah impian setiap ibubapa yang ada anak kan? Lebih-lebih lagi anak lelaki.

Nak dapat anak yang mudah faham dan celik agama, ibubapa lah yang perlu mainkan peranan.

Tidak sekadar memberi didikan dan tunjuk ajar. Malah yang lebih penting adalah setiap makan minum yang disuap ke mulut anak.

+ Perlu dipastikan betul-betul halal.

Halal ini bukan sekadar makanan yang fitrahnya halal. Tapi perlu dilihat juga dengan cara apa diperoleh.

Adakah dibeli dengan usaha jujur kita dalam bekerja atau dibeli dari hasil culas kita?

Adakah dibayar dengan harga yang benar atau dicuri dengan menipu harga atau tak bayar langsung?

+ Perlu dipastikan benar-benar suci.

Adakah makanan tersebut diproses dengan cara yang ditetapkan oleh Islam?

Adakah penyediaan makanan tersebut dibuat dengan meneliti setiap aspek kebersihan dan kesuciannya?

"Apa yang kita makan, akan jadi darah daging. Kalau makan yang haram, buruklah darah daging kat badan kita ni."

Itu kata-kata arwah mak. Sentiasa mami ingat. Bila dah ada anak, lagilah beringat. Walau kadang-kadang terbabas juga.

Besar tanggungjawab mak ayah kan?

Nak dapat anak yang soleh dan solehah, kena hati-hati dengan apa yang kita bagi. Barulah anak-anak menjadi.

Insya-Allah.

#mamiEffy
Masih sejuk hati.

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER