Sunday 23 August 2020

Jujurlah Selalu

Siakap, senohong, gelama, ikan duri,
Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Pantun 2 kerat yang diajarkan pada kita sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menunjukkan betapa perbuatan berbohong bukanlah sesuatu yang baik.

Setiap pembohongan akan berterusan dengan pembohongan yang lain pula. Semata-mata untuk menutup pembohongan yang pertama. Ini akan meningkatkan stres si pembohong yang mana pada akhirnya boleh menyumbang kepada masalah kesihatan lain pula.

Bahaya kan?

Daripada Abu Mas`ud r.a, dia berkata, Rasulullah (selawat) bersabda,

“Sesungguhnya dusta itu pemacu kepada kejahatan, dan kejahatan akan menghantar ke neraka. Jika seseorang membiasakan diri dalam kedustaan, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta." - Hadith riwayat Mutafaq`alaih.

Alangkah ruginya kita jika tersenarai sebagai pendusta. Untuk sementara mungkin kita terselamat. Tetapi akhirnya ketika kebenaran terbongkar, itu akan sentiasa menghilangkan keyakinan sesiapa sahaja terhadap kita.

Kredibiliti tercalar. Kepercayaan pun pudar. Malah lebih pedih, jika yang dibohongi itu adalah ibubapa dan orang-orang tersayang. Betapa kecewa dan luluhnya hati mereka.

Abu Dzar r.a pernah berkata,
"Tambahkanlah wasiatnya wahai Rasulullah." Lalu Rasulullah (selawat) bersabda: "Katakanlah yang benar walaupun kebenaran itu pahit."
- Hadith Riwayat Ahmad, At-Tabrani.

Jujurlah selalu.

#mamiEffy

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER