Saturday 13 July 2019

Hargai insan yang ikhlas menyayangi kita.

Dalam sibuk menulis menyiapkan tugasan, sempat juga membaca beberapa berita. Sambil-sambil terlayan cerita Setelah Terlafaznya Akad yang sedang ditayangkan di Astro Ria 104, jam 10 malam setiap Isnin hingga Khamis. Ulangannya setiap hari jam 10 pagi dan 4 petang.

Kisah Hanan, Nawal dan Hani ini mempunyai mesej supaya kita sentiasa menghargai insan yang ikhlas menyayangi kita. Juga mengingatkan supaya kita sendiri ikhlas menerima pasangan seadanya. Bukan kerana kita mahu dia menjadi seperti apa yang kita mahu.

Hidup berumahtangga begitulah. Saling menerima dan saling melengkapi antara satu sama lain. Dan menerima itu bukanlah diri pasangan semata-mata. Kita perlu terima keluarganya juga.

Mana yang tak sehaluan dengan pendapat kita, tenang-tenang sahaja. Mereka ada cara tersendiri, sama juga macam kita. Tenang, terima. Selagi ia tak bercanggah dengan hukum agama dan adat, tak perlu jadikan itu masalah.

Paling utama dalam kehidupan berumahtangga ini adalah sikap saling menghargai. Kita sebagai isteri atau suami, hargai pasangan hidup yang telah menjadi jodoh kita. Hargai keluarga yang datang bersama jodoh tersebut. Dan hargai peluang untuk berbakti kepada keluarga dan pasangan kita.

Apabila kita tahu untuk menghargai, kita akan lebih mudah bersyukur. Tak semua orang bertuah dikurniakan rumahtangga seperti kita. Ada yang sehingga lanjut usia masih berantakan rumahtangganya. Ada yang terpisah di awal perkahwinan lagi.

Oleh itu sahabat sekalian,

Pandanglah kepada pasangan di sisi. Ucapkanlah terima kasih untuk semua kasih sayang yang telah dicurahkan. Untuk semua pengorbanan yang tak terbalas.

Semoga kehidupan rumahtangga kita akan lebih bahagia dan harmoni.

Insya-Allah.

#mamiEffy

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER