Tuesday 2 July 2019

Kerjasama Suami Isteri Menjamin Rumahtangga Harmoni

Sudah beberapa hari saya tak menulis tentang isu rumahtangga atau kekeluargaan. Namun masih mengikuti cerita semasa. Dari kisah suami nak sembelih isteri gara-gara terlupa gosok baju kerja sehinggalah kepada kisah perpisahan beberapa artis popular tanahair. Semoga kesudahan yang baik untuk kesemua mereka.

Kehidupan berumahtangga ini ibarat sebuah jentera. Tidak akan berfungsi jika salah satu bahagiannya tiada atau rosak. Begitulah rumahtangga kita.

Tanpa suami, rumahtangga tiada makna. Tanpa isteri, rumahtangga hilang serinya. Mana mungkin akan bahagia jika salah seorang tidak beri kerjasama. Apa lagi jika kedua-duanya buat perangai sama.

Kawan yang dikasihi,

Memastikan keharmonian dalam rumahtangga bukan terletak pada bahu satu pihak. Namun kedua-dua suami dan isteri punyai tanggungjawab untuk merealisasikannya. Satu dari kunci keharmonian rumahtangga adalah KERJASAMA.

Suami yang baik akan ringan tulang menolong isteri di hari cuti. Malah di hari bekerja pun tak jadi masalah untuk tolong kerja rumah. Isteri secara otomatik akan senang hati menyiapkan keperluan suami. Tanpa merungut letih dan penat.

Itulah hikmahnya kerjasama di antara suami dan isteri.

Pernah lalui situasi begini? ⤵

Suami bangun tidur awal pagi. Usai solat subuh, terus capai telefon main game sampai hari cerah. Kemudian bersiap pergi kerja. Kerja pula dalam pejabat berhawa dingin. Balik dari pejabat, lepak tengok televisyen. Cukup masa makan. Lepas makan tengok televisyen lagi sampai tertidur.

Hari cuti, ulang hal yang sama kecuali tak bersiap ke pejabat. Main game, tidur siang, makan, main game, tonton televisyen, tidur lagi.

Fuhh~ Saya yang menulis pun rasa letih betul dengan rutin begini.

Isteri pula, usai solat subuh terus masuk dapur berkemas, sediakan sarapan. Kemudian sambung jemur pakaian, mandikan anak-anak, bagi anak makan, layan anak bersembang, main dan ini berterusan hingga ke malam.

Bagi isteri bekerja, belum sempat hilang penat di pejabat, terus berlari ke dapur sediakan makan malam. Kemudian bergegas pula sediakan keperluan suami dan anak-anak untuk esok. Berniaga online pula. Kena uruskan pelanggan lagi sebelum boleh tidur.

Wahh, hebatnya wanita!

Dalam situasi rumahtangga di atas,

• Mampukah pasangan ini menikmati bahagia bersama?
• Untuk apa ada suami jika semuanya isteri buat sendiri?
• Untuk apa ada isteri jika hadirnya tak dipeduli?

Sama-sama kita fikirkan.

Semoga kehidupan rumahtangga kita akan lebih sejahtera dengan adanya sikap saling memahami dan bekerjasama. Suami faham penat isteri, dan bantu apa yang terdaya. Isteri pula faham lelah suami, dan bantu ringankan bebannya.

Begitulah adat berumahtangga. Sama-sama nikmati semua rasa.

#mamiEffy
#SrikandiInspirasi
#SICircle

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER