Wednesday 26 June 2019

KENAPA ANAK BERBOHONG?

Pernah tangkap anak bercakap bohong?

Misalnya, bila kucing kesayangan kita tiba-tiba lari berselerak dengan bedak penuh di badan.

"Ayim, Ayim letak bedak kat Oyen ke?"

"Ehhh mana ada. Bukan Ayim. Mana Ayim tau", jawab anak dengan nada tak bersalah.

Padahal dalam rumah tu cuma ada kita dengan dia saja. Dan kucing takkan pandai pakai bedak sendiri.

Kenapa anak-anak berbohong?

1. Takut kena marah / hukum.

Ini biasalah. Anak-anak bila terbuat sesuatu, tersalah pula. Mesti takut nak beritahu hal sebenar. Nanti kena marah.

Tambah pula mak ayah jenis cepat nak marah. Pantang silap sikit, terus marah anak.

Langkah paling selamat, cakap bohonglah. Kita pun kalau terpaksa berdepan dengan bos yang asyik garang saja, mesti berbohong juga, kan?

2. Tak mahu menghampakan mak ayah.

Sebenarnya anak-anak tak mahu sedikit pun menghampakan mak ayahnya. Kalau boleh nak mak ayah sentiasa gembira dan bangga dengan mereka.

Itu sebabnya bila terbuat sesuatu yang salah, anak-anak pilih untuk berbohong. Bimbang kalau berterus-terang, mak ayah akan kecewa dan sedih dengan kehadiran mereka.

3. Mahukan perhatian dan reaksi mak ayah.

Satu hal lagi, anak-anak sentiasa mahukan perhatian. Mereka akan bercerita tentang hal-hal yang akan buat mak ayah teruja untuk terus beri perhatian kepada mereka.

Contohnya, mereka cerita tentang kawan tolak sampai terjatuh baju kotor. Mak ayah akan beri perhatian dengan bertanya siapa kawan yang tolak tu, cikgu tahu ke tidak dan macam-macam soalan lain.

Sedangkan sebenarnya, dia terjatuh sendiri semasa berlari nak keluar masa dah balik sekolah. Kalau beritahu hal sebenar, nanti mak ayah kata dia cuai, kelam-kabut. Lepas tu mak ayah dah tak peduli.

Apa yang kita sebagai mak ayah boleh lakukan bila anak mula berbohong?

1. Berhati-hati bila nak menunjukkan reaksi terhadap kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak.

Anak-anak yang tahu mereka akan dihukum atau dimarahi dengan teruk sekiranya melakukan kesalahan, akan takut untuk bercakap benar. Cuba bercakap dengan nada tenang, dan fokus kepada cara untuk betulkan kesalahan yang dilakukan mereka.

2. Fokus kepada perasaan anak.

Bila mak ayah perasan anak berbohong, kawal perasaan marah. Cuba fahami kenapa anak buat begitu.

Cuba guna ayat,

"Mama rasa abang macam takut nak cakap terus terang dengan mama. Cuba abang beritahu kenapa abang takut?"

Perlahan-lahan anak akan mula beritahu hal sebenar. Dan mereka akan lebih berani untuk bercakap benar di masa hadapan.

3. Hargai dan beri pujian bila anak bersikap jujur.

Puji anak-anak yang berani bercakap jujur. Tunjukkan bahawa kita menghargai keberaniannya itu.

"Abang mesti takut mama marah kan. Tapi mama bangga abang jujur dan beritahu mama hal sebenar. Mama sayang abang".

4. Raikan kesilapan anak-anak.

Jelaskan kepada mereka bahawa kesilapan yang berlaku adalah peluang untuk anak-anak belajar. Bila mereka tahu mak ayah tak akan menghukum atau marah keterlaluan, mereka akan lebih yakin untuk berterus-terang pada masa hadapan.

Sekiranya kesilapan yang mereka lakukan memberi kesan kepada pihak lain, tanya kepada anak apa yang perlu dibuat supaya semuanya dapat diselesaikan dengan baik.

5. Hati-hati dengan penipuan kita juga.

Anak-anak belajar dari pemerhatian dan pendengaran. Ini mak ayah kena selalu ingat. Mereka memerhati saja bagaimana cara kita memberi alasan untuk tak hadir ke mesyuarat PIBG sekolah.

Atau bagaimana kita mereka cerita untuk mengelak dari menyertai majlis gotong-royong bersihkan taman perumahan kerana nak menonton televisyen di rumah.

Mereka belajar dan akan buat perkara sama kepada kita kelak. Jadi sentiasa berhati-hati dan fikir panjang sebelum kita mula berbohong.

Semoga bermanfaat.

#mamiEffy

Follow Effy Sueffy untuk lebih perkongsian tentang keibubapaan, rumahtangga dan isu kehidupan.

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER