Thursday 27 June 2019

Bagaimana Melatih Anak Kecil Supaya Pandai Mengemas Permainannya?

Sekarang anak kita masih kecil. Rumah bersepah sana-sini dengan permainan. Sesekali kaki sakit akibat terpijak lego, kereta atau entah apa saja yang berselerak.

Kita pun marah-marah. Bising mengomel pada anak-anak.

"Kenapa sepahkan mainan ni? Kalau tak mau kemas, pergi buang semua!"

Padahal anak tu baru 1, 2 tahun. Kita sendiri pun tak ambil dan ajar bagaimana cara untuk kemas permainan. Mana mungkin mereka akan pandai sendiri.

Dan bila sekali kita tunjukkan, usahlah terus berharap mereka akan segera pandai. Pembelajaran mengambil masa beberapa kali untuk anak kecil kita faham dan ingat. Itu pun sesekali akan tersilap juga.

Kawan,

Tanggungjawab membentuk sikap anak-anak adalah tanggungjawab kita sebagai ibubapa. Bukan tanggungjawab ibu sahaja, atau ayah seorang yang perlu urus semua. Mesti ada kerjasama suami dan isteri.

Lainlah halnya jika kita ini ibu atau bapa tunggal. Itu ya, tanggungjawab kitalah untuk membentuk peribadi mereka. Namun tidaklah kita terbiar terkontang-kanting tanpa panduan. Banyak saluran yang boleh kita rujuk untuk dapatkan tunjuk ajar.

Baiklah,

Berbalik kepada BAGAIMANA NAK MELATIH ANAK KECIL SUPAYA PANDAI KEMASKAN PERMAINAN MEREKA?

1. Biasakan bermain dengan anak. Kalau anak ajak main masak-masak, mainlah. Kemudian bila dia sudah bosan, jadikan aktiviti mengemas perkakas permainan sebagai sebahagian dari permainan tadi.

2. Ajak anak kemaskan permainan yang bersepah bersama-sama. Bukan hanya bising dan marah-marah. Anak tak akan buat dengan gembira.

Sebaliknya ambil satu permainan, beri kepada anak dan tunjukkan supaya dimasukkan semula ke dalam kotak atau bakul. Buat sama-sama.

3. Ajar anak supaya ambil permainan yang dia mahu main sahaja. Mula-mula memang agak payah. Selagi ada kotak atau bakul, semua akan diterbalikkan. Biar nampak semua permainan. Itulah anak-anak.

Bila nampak anak nak ambil permainan, biasakan tanya kepada anak,

"Abang nak main apa? Kereta atau robot?"

Anak akan beri jawapan dan main apa yang dia nak main sahaja. Yang lain tak akan dikeluarkan. Jadi simpanlah kotak atau bakul permainan di dalam bilik. Biar anak main apa yang sudah diambil sahaja.

4. Sekiranga anak mahu menukar permainan, minta anak simpan dahulu mainan sebelumnya. Kemudian baru ambil permainan lain. Insya-Allah anak akan patuh. Cuma cakaplah dengan nada kasih-sayang. Usah dimarah-marah.

Semoga panduan mudah ini dapat bantu kita menjadi lebih gembira untuj membiarkan anak-anak bermain. Kerana dari permainan, mereka sedang belajar banyak perkara.

Oleh itu, usahlah kita membantutkan keseronokan mereka bermain hanya kerana kita takut kaki sakit terpijak lego.

Sesekali tersakit, maafkanlah.

#mamiEffy
Sesekali layan anak jadi Nobita. 😁

#SrikandiInspirasi
#SICircle

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER