Monday 24 June 2019

Aku akan cuba terima kau seadanya.

Awal perkahwinan dulu, kami banyak berbalah. Serba-serbi tak kena. Itu tak kena kat mata, ini tak kena kat hati.

"Kalau macam ni baik berpisah."

Ayat ni biasa sangat kat mulut kami. Sampai satu tahap, kami sama-sama tanya satu sama lain. Sungguh ke nak berpisah?

Tak.

Itu jawapan kami berdua. Kami ambil masa, cuba faham perangai masing-masing. Hakikat bahawa kami sama-sama anak kedua juga perlu diambil kira. Hampir kebanyakan perangai kami sama.

Ditambah pula dengan perangai kepala batu kami. Baran pula. Yang kenal kami berdua, tahulah macam mana.

Tapi kami tak terus dengan ego sendiri. Dia korbankan ego, saya pun belajar hormat ego dia. Kami juga usaha buang apa-apa perkara yang pasangan tak suka.

Contohnya saya tak suka dia duduk mengadap televisyen saja pada hari cuti. Dia ubah. Tolong apa yang patut dulu, kemudian baru berehat.

Dia pula tak suka saya banyak bertanya tentang kerja atau kawan-kawan. Saya masih buat. Haha. Cuma caranya lebih halus, lembut dan lebih bersahaja. Hanya untuk berbual. Bukan untuk soal siasat seperti di awal perkahwinan dulu.

Semakin lama, kami makin kurang bertengkar. Lebih banyak bertolak-ansur. Kalau dulu, dia dan saya sama suka pertahankan tentang hal penerimaan.

"Awak dah kahwin dengan saya, kenalah terima saya ni macam mana pun. Kena bersyukurlah. Kalau tak suka, baik tak payah kahwin."

Lama-lama, kami belajar sesuatu. Hidup berumahtangga bukanlah tentang apa yang kita akan terima dari pasangan. Tapi lebih kepada apa yang kita beri. Sebab apa yang kita beri, itulah yang akan kita terima.

Begitu juga, ia bukan tentang pasangan perlu terima kita seadanya sehingga kita berasa tak perlu ubah apa-apa tentang diri sendiri. Sebaliknya, ia adalah mengenai kesediaan kita menerima kurang lebih pasangan untuk kita lengkapkan.

Begitulah kami ubah suasana perkahwinan kami. Dari selalu tegang menjadi lebih fleksibel. Boleh ke tepi dan ke tengah. Lebih banyak gurau senda berbanding serius sepanjang masa.

Sesekali tergigit lidah juga. Tapi lebih mudah untuk bertenang dan berdamai. Sebab masing-masing fikir tak mahu besarkan hal yang remeh.

Dia buat salah, saya pun ada salah. Dia boleh maafkan, kenapa tidak saya?

Begitulah kehidupan berumahtangga.

#mamiEffy
#SrikandiInspirasi
#SICircle
Fb Effy Sueffy

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER