Friday 13 December 2019

Beberapa Perkara Yang Boleh Dipelajari Daripada Thalaivar Superstar Rajnikant

12 Disember, bukan sahaja hari jualan murah seluruh negara. Ia juga merupakan hari lahir beberapa orang sahabat mami. Dan menariknya, mereka berkongsi tarikh lahir dengan superhero kesukaan ramai, Thalaivar Superstar Rajnikant.

Membaca kisah hidup beliau, banyak yang boleh diambil pengajaran. Dari seorang konduktor bas biasa, kini menjadi ikon terkenal di seluruh dunia. Hebat bukan?

Beberapa perkara yang mami belajar dari beliau adalah:

❤ Jadi unik dengan gaya tersendiri.

Peminat filem India (Tamil, Telugu mahupun Hindi), mesti perasan keunikan yang sering dibawa oleh beliau dalam setiap watak dan filem yang dilakonkan.

Dari gaya hayun tuala ke bahu sampailah ke trademark 'Lakalakalaka' dalam filem Chandramukhi, semuanya memberi impak tersendiri.

Setiap gaya beliau sukar ditiru oleh orang lain. Itulah yang menjadikan beliau sentiasa unik di mata peminatnya.

❤ Berani keluar dari kebiasaan.

Bayangkan, beliau cuma seorang konduktor bas. Tanpa keberanian untuk keluar dari rutin hidup seorang konduktor, mungkin hari ini kita tak dapat menonton lakonan-lakonan hebat beliau.

Untuk mencapai kejayaan dalam hidup, kita perlu berani mencuba sesuatu yang berbeza dari apa yang biasa kita lakukan.

Misalnya, jika selama ini kita selesa copy paste ayat iklan orang dan post sebagai ayat sendiri, apa kata mulai hari ini kita beranikan diri untuk tulis ayat sendiri. Ayat yang lebih serasi dengan jiwa kita. Menjadi lambang dan identiti diri sendiri.

Percayalah, suatu masa kita juga akan berjaya menjadi penulis yang baik sebagaimana mereka yang kita copy ayatnya selama ini.

❤ Jaga disiplin diri.

Hanya dengan disiplin yang baik seseorang akan dapat membina kejayaan. Itulah yang dipraktikkan oleh Superstar Rajnikant.

Beliau berusaha menjaga nama baiknya dalam industri dan di kalangan masyarakat. Tidak terpalit dengan gosip-gosip liar yang boleh merosakkan nama baiknya, membuatkan beliau sentiasa dihormati.

Sehingga ada pendapat yang mengatakan sekiranya beliau menceburi bidang politik pun, beliau akan sentiasa mendapat sokongan kerana populariti dan kredibiliti yang dimilikinya.

Namun, Rajnikant sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak berminat untuk menyertai politik dan hanya berminat untuk berlakon filem sahaja.

Kita pun samalah. Kena ada disiplin diri. Tak kiralah sama ada kita online seller, ghostwriter mahu pun sesiapa sahaja.

Jaga disiplin diri dalam berurusan dengan orang lain. Dan jaga disiplin kerja juga. Insya-Allah kita pun boleh berjaya.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua.

❤,
#mamiEffy
1 lagi perkara yang mesti ada adalah rasa yakin dan percaya kepada Tuhan. RedhaNYA adalah perlu dalam setiap perkara yang kita usahakan.


No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER