Sunday 19 January 2020

Jadilah Ibubapa Yang Merapatkan Hubungan Anak-anak

Ada sebuah keluarga yang mami kenal rapat. Dari mak ayah sampailah ke anak-anak mereka.

Ayah mereka sudah hampir berusia 70 tahun tapi masih sihat alhamdulillah. Sesekali sakit itu biasalah. Mak pula dah meninggal dunia. Anak-anak semuanya sudah berkeluarga. Adalah beberapa beradik.

Kisahnya, sejak arwah mak mereka masih ada hubungan kekeluargaan mereka tak rapat. Usah kata adik-beradik, anak dengan ayah pun tak baik. Ada yang dengan mak pun tak baik juga. Kekok.

Bila sembang-sembang, yang adik cerita,

"Dulu arwah mak tak bagi rapat dengan kakak. Sebab kakak baik dengan ayah. Mak tak suka. Lepas tu mak kata kakak tu jahat. Kalau kami baik dengan kakak, mak kata kami nak jadi jahat juga."

Kita yang dengar pun macam krik krik krik krik. Tak tau nak jawab apa. Si kakak pula bercerita,

"Arwah mak tak suka sebab dari awal dia tak nak lahirkan saya pun. Dia selalu cakap menyesal tak gugurkan saja. Bayangkan dari kecil mak asyik cakap macam tu. Sampai saya dah berkeluarga pun masih mak sebut hal tu.

Saya tetap fikir itu mak saya. Cuma hubungan keluarga jadi tak rapat ni memang saya salahkan arwah mak. Sebab arwah suka cakap dengan semua orang yang saya ni jahat. Sampai adik pun tak hormatkan saya.

Ada adik saya yang sorang tu, dah 10 tahun tak bertegur langsung. Bila saya telefon, dia tak jawab. Kemudian tukar nombor telefon. Sampai arwah mak dah meninggal, ingatkan nak berbaiklah. Tapi sama juga. Sekarang lagi jauh. Siap adik-beradik lain pun dia warning supaya jangan berbaik dengan saya. Entah apa salah saya dengan dia pun tak taulah."

Sedih kan dapat tahu hal macam ni?

Macam mana sebuah keluarga yang dibina berakhir dengan perpecahan yang tak sepatutnya. Nak salahkan siapa?

Mami selalu fikir panjang nak menulis tentang ni. Sebab melibatkan arwah yang dah tak ada. Tapi bila fikir ada pengajaran yang penting, mami kongsikan juga. Semoga Allah memberi keampunan dan melimpahkan rahmatNya kepada arwah.

Sebagai ibubapa, seharusnya kita yang bertanggungjawab merapatkan hubungan anak-anak. Didik mereka untuk saling menghormati dan berkasih-sayang. Menjadi tanggungjawab kita untuk mengajar bahawa yang tua perlu dihormati dan yang muda perlu dikasihi.

Jika ibubapa sendiri yang mencipta jurang di antara anak-anak, bagaimana mereka dapat bersatu apabila ibubapa sudah tidak ada lagi?

Selain keluarga yang satu ini, mami pernah juga jumpa keluarga yang mana mak sendiri asyik bercerita hal keburukan anak. Serba-serbi anak tak elok. Sampai ke pasangan si anak pun dapat tempias.

Ada juga kes ibubapa yang melaga-lagakan anak menantu supaya bergaduh. Sengaja dicerita buruk perangai si adik atau abang supaya orang tak suka.

Kemudian dihasut pula konon si polan tu dera dialah, seksa dialah. Padahal anak menantu ni baik-baik saja. Sudahnya anak menantu merajuk, bawa diri ke tempat lain. Sebab tak tahan dengan kerenah mak ayah yang suka mengadu domba.

Ini kisah benar ya. Yang berlaku di sekeliling mami. Yang mami sendiri pun kadang-kadang jadi naik angin juga bila dengar cerita macam ni. Yang buat mami rasa malas nak bercampur sangat dengan orang. Sebab terpaksa dengar hal yang bukan-bukan.

Tapi kalau tak bercampur dengan orang, kita tak tahu dalam masyarakat sekeliling ada kisah-kisah sedih macam ni. Sensitif bila disuarakan tapi kalau didiamkan saja, ramai yang tak sedar budaya macam ni bukanlah sesuatu yang baik.

Menjadi ibubapa bukan mudah. Namun menjadi anak dengan sikap ibubapa yang bermasalah pun bukan senang.

Ramai sebenarnya anak-anak yang memendam sakit akibat perbuatan ibubapa. Mendera mereka dalam diam dan akhirnya menjadikan mereka mangsa depresi.

Ibubapa seharusnya mendidik agar ikatan kekeluargaan semakin utuh. Mengajar supaya anak-anak saling bermaafan bila ada hal yang buat hati tersentuh.

Jika ibubapa sendiri yang sengaja memburuk-burukkan anak, melaga-lagakan sehingga anak jadi saling membenci, apakah salah jika anak-anak menjauhkan diri dari keluarga?

Apakah istilah anak derhaka masih digunapakai sedangkan ibubapa yang menjadi punca?

Semoga kita semua direzekikan Allah untuk menjadi ibubapa yang penyayang dan mampu mendidik anak-anak supaya saling berkasih-sayang juga.

Insya-Allah.

#mamiEffy

No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER