Thursday 9 January 2020

Nadigaiyar Thilagam, Best!

Nadigaiyar Thilagam, sebuah kisah biografi seniwati terulung India, Savitri Ganesan. Versi Telugunya bertajuk Mahanati.

Watak Savitri dibawakan oleh Keerthy Suresh manakala Dulquer Salmaan memegang watak sebagai Gemini Ganesan.

Jujurnya, mami tak kenal pun siapa seniwati Savitri ni. Hanya selepas kami tonton filem ni lah baru tahu.

Filem ini bermula dengan kisah kanak-kanak Savitri atau nama sebenarnya Nissankara Sarasavanidevi.

Digambarkan sebagai anak kecil yang comel tetapi sedikit nakal, Savitri merupakan seorang yang mempunyai azam yang kuat. Lebih-lebih lagi jika ada yang mengatakan beliau tak mampu untuk buat sesuatu.

Di sini mami belajar sesuatu. Bila ada yang memandang rendah atau menafikan keupayaan kita, usah mudah berputus asa. Kuatkan azam, terus berusaha untuk buktikan pandangan mereka itu salah. Tunjukkan bahawa kemampuan kita adalah lebih baik dari apa yang mereka fikir.

Filem ini terus membawa kita kepada perjalanan hidup Savitri di mana kejayaan demi kejayaan mula dicapai ketika beliau remaja. Bagaimana beliau mula mendapat perhatian pengarah dan pengusaha filem sehinggalah kepada kisah percintaannya dengan Gemini Ganesan.

Banyak pengajaran yang dapat dijadikan iktibar dari kisah hidup seniwati ulung ini.

1. Jika mahu mencapai kejayaan, mestilah buat sesuatu perkara itu dengan minat. Tanpa minat yang mendalam, mungkin kita tak akan berusaha dengan bersungguh-sungguh.

2. Bagi mencapai kejayaan, mesti ada kesediaan untuk belajar. Hanya dengan kesediaan itu kita akan dapat mencapai apa yang kita mahu, insya-Allah.

Ini ditonjolkan pada babak ketika Savitri mahu belajar menari dan ketika beliau dibawa untuk belajar bahasa Tamil oleh Gemini Ganesan (yang akhirnya menjadikan mereka rapat dan saling jatuh cinta).

3. Cinta mampu memberi kekuatan dan inspirasi. Namun begitu, jika ia dikhianati, cinta juga mampu merubah seseorang menjadi lemah tak berdaya.

Inilah yang terjadi kepada Savitri. Apa yang berlaku? Kalian perlu tonton sendiri. Ia sebuah kisah cinta yang indah diawalnya namun akhirnya meninggalkan luka yang sangat dalam.

4. Seberapa banyak pun kita kecewa tentang kegagalan dalam hidup, tetaplah ingat mereka yang tersayang. Usahlah terlalu ikutkan perasaan sehingga membahayakan kesihatan sendiri.

5. Sebelum membuat sesuatu keputusan, fikirlah sedalam-dalamnya tentang kesan dan akibatnya. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan sesuatu hal yang besar.

Nadigaiyar Thilagam turut dibintangi oleh Samantha Akkineni dan Vijay Devarakonda sebagai supporting roles.

Kawan-kawan,

Ini kisah biografi seorang seniwati yang terulung dalam dunia perfileman India Selatan. Maka tak adalah scene gaduh-gaduh atau pukul sana pukul sini seperti filem India yang lain.

Ini sebuah kisah tentang seorang yang ternama namun masih kekal merendah diri dan berhati baik. Ia juga kisah yang menyentuh tentang isu pengkhianatan oleh mereka yang dipercayai, isu kesetiaan dan cemburu tak bertempat yang merosakkan segalanya.

Sebuah filem yang menarik dan menyentuh hati bagi mami yang meminati kisah biografi sebegini.

Cubalah tonton sendiri.

#mamiEffy
Masih tersentuh hati.




No comments:

Post a Comment

SERVIS PENULISAN GHOSTWRITER/COPYWRITER